Apa Yang Jauh?

10 Julai 2010

Assalamualaikum bersua kembali sejak sekian masa yang berlalu. Setiap detik ketika ia berdetik menjanjikan kepada insan peluang, jika tidak pasti ia tidak menunggu atau datang semula. Semakin berdetik semakin jauh ia pergi. Itulah perkara yang jauh dari kita = MASA.
Apa pula benda yang dekat? Yang dekat itu MATI. Semakin kita hidup di dunia semakin menghampiri saat ajal yang telah tertulis sejak dari alam janin lagi.
Apa pula yang berat? Yang berat itu AMANAH. Tiada urusan atas muka bumi ini yang lebih berat tidak tertanggung oleh kita yang boleh mengatasi amanah. Bebanan di tempat kerja adalah salah satu contoh yang terdekat. Amanah manusia, amanah tuhan, amanah macam2 yang kita tidak terlepas dari kena uruskan ia dengan wajar dan integriti.
Apa pula yang ringan? Yang ringan itu SOLAT. Zaman kita kini tidak ramai yang beratkan solat, sebaliknya meringankan solat. Termasuk dalam ringan dari segi fizikal dan mental ialah solat nak cepat ataupun di hujung2 waktu. Sementara yang lain bersolat juga tapi hatinya malas berkali ganda. Ingatlah wahai diri yang menulis blog dan yang bacanya...perkara pertama yang akan ditanya di akhirat ialah solat.

Alhamdulillah. Dapat juga berkongsi info dengan sahabat2. Tika ini ana ada amanah penting juga iaitu melaporkan data pencapaian j-QAF 6 bulan pertama 2010 kepada PPD. Musim data la katakan bagi ustaz-ustazah j-QAF di seluruh negara. Macam musim durian dan rambutan juga yang kini tengah berlonggok di gerai2 tepi jalan.

Selamat menunaikan amanah anda. Wassalam.

Selamat Hari Guru

19 Mei 2010

Assalamualaikum.
Hari Guru pada tahun ini jatuh pada Hari Ahad 16 Mei. Rasanya masih tidak terlewat lagi untuk ana nukilkan di sini ucapan "Selamat Hari Guru" kepada semua insan yang berstatus guru, ex-guru dan bakal guru.
Pengorbanan individu yang berkecimpung dalam medan pendidikan secara sepenuh masa atau separuh masa amat tinggi nilainya. Guru di sini secara khusus dimaksudkan profesion perguruan termasuk para pendidik di setiap lapisan pengajian, dari serendah-rendah tahap sehingga lah ke tahap paling tinggi.
Adapun peranan dan fungsi mendidik bukan hanya dipikul oleh individu bergelar "cikgu" di institusi pendidikan semata-mata. Bahkan tugas pendidikan bermula dari seseorang itu mula mengetahui sesuatu ilmu, kemudian mengajarkannya kepada orang lain. Itu sudah dinamakan guru. Sementara ibu bapa adalah guru pertama anak-anak mereka dalam mengasuh peribadi dan menyemai pendidikan awal secukupnya. Ibu bapa lah yang memainkan peranan terpenting dalam rangkaian pendidikan. Manakala guru di institusi pendidikan adalah agen sekunder bagi mambantu melengkapkan pendidikan seseorang manusia.
Namun demikian dewasa ini jarang ada ibu bapa yang mampu memberikan pendidikan yang wajar kepada anak-anak. Justeru itu, tugas dan tanggungjawab itu dipindahkan ke bahu orang lain iaitu guru. Oleh yang demikian mereka wajar diberi imbuhan atas usaha yang dilaksanakan. Dengan kata lain, guru rasmi tersebut bertanggungjawab memberikan pendidikan yang wajar kepada muridnya selayaknya dengan penuh dedikasi dan integriti.
Apabila semua pihak mengganding bahu merealisasikan tugas di posisi masing-masing, kejayaan pendidikan akan terzahir di dalam peribadi anak-anak didik. Peribadi unggul yang diharapkan ialah keseimbangan ilmu dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Jika itulah matlamat yang dituju, maka patut seseorang guru itu dihormati dan diucapi "Selamat Hari Guru".
Dedikasi khas buat kedua-dua ibu bapaku, para guruku yang masih hidup dan telah lama pergi serta anak-anak didikku yang telah bergelar guru. Guru hari ini, guru jugalah pada hari esok.

Khitamuhu Misk

01 Mei 2010

Assalamualaikum.
Hari ini madah terakhir untuk imtihan fasal 2 ni telah berakhir. Madah Al-Aqidah yang pada fasal lalu ana tersangkut tak lepas. Mungkin kerana waktu itu ana masih baru mula berjinak dengan alam belajar, jadi jawapan yang ditulis tidak seperti kehendak pensyarah. Atau mungkin waktu itu markah lulusnya agak tinggi mengikut standard Master Al-Azhar, sebab sohibul madah kata macam tu.
Kali ini ana mengharapkan usaha yang dicurahkan membawa hasil yang memuaskan walau tidak sebaik mana. Jika berjaya fasal depan dapat diteruskan tanpa terikat dengan syarat universiti. Semoga 3.0 ke atas la. Dulu di Mesir mana ada pointer atau CGPA. Yang ana tahu maqbul,jayyid,jayyid jiddan dan mumtaz aje.
Insya Allah, selamat berjaya kepada semua sahabat satu saf perjuangan.

Perjuangan Baru Bermula

24 April 2010

Perjuangan pertama bermula jam 2.30 ptg tadi di INSANIAH dengan membawa bekalan madah Ulumul Quran. Hari ini badan rasa kurang selesa sebab ada tanda-tanda selsema. Semasa imtihan tadi ana hanya mampu menahan kesejukan pendingin hawa sampai jemari menjadi tiada rasa (kebas) kerana setiap sendi jari terus-menerus bekerjasama mencoret ayat-ayat jawapan bagi soalan yang ditanya. Kerusi dan meja tidak ditinggalkan dalam masa 3 jam yang diperuntukkan. Seolah-olah 3 jam itu tidak mencukupi untuk menyusun baris-baris jawapan yang ingin ana tuliskan.
Alhamdulillah, sepanjang berlangsung imtihan semua berjalan dengan baik. Usaha menimba ilmu sudah, usaha menghasilkan bahas sudah, usaha mengulangkaji sudah, usaha menjawab soalan pun sudah. Tinggal lagi doa dan tawakkal kepada Allah.
فإذا عزمت فتوكل على الله
Apabila engkau bertekad maka tawakkallah kepada Allah.
Akan menyusul lagi dua madah yang sedang menunggu. Semoga masa yang berbaki dimafaatkan sebaiknya. Kepada sahabt-sahabat ana mohon doa kalian agar kejayaan bersama kita dalam setiap medan yang kita ceburi. Kerana di kalangan mu'minin ada mereka yang mustajab doanya. Terima kasih.

Bersedia Hadapi Cabaran

18 April 2010

Hari-hari yang dilalui terasa cepat berjalan. Sehari jadi seminggu, seminggu jadi sebulan. Kerja yang terletak atas bahu masih berlambak lagi yang tidak tertunai. Tugasan harian pembelajaran dan pengajaran tetap ku laksanakan dengan sebaiknya.
Sedar tak sedar pengajian sarjana ana semakin hampir ke akhir semester dua. Tinggal satu minggu lagi sebelum masuk ke medan pertarungan imtihan semester dua, 24 April 2010 dan dua hari lagi masing-masing pada 26 April dan 1 Mei. Madah yang terlibat ialah Ulum Quran,Falsafah Islam dan Aqidah. Sebelum ni sudah berminggu-minggu bertungkus lumus menyiapkan bahas bagi ketiga-tiga madah tersebut.
Alakullihal, kini dan sepanjang masa ana perlu merakamkan setinggi penghargaan kepada semua yang membantu. Terutama sayap kiriku yang tercinta, puteriku yang semakin memahami, kedua-dua ibu bapa, anak-anak muridku dan rakan sekerja yang senantiasa memberi motivasi. Harapan ana nasihat dan motivasi kalian tak kan putus-putus. Kepada Allah ana mohon kemurahan rezeki dan kelapangan hidup kalian.

Sepatah-dua Bicara

04 April 2010

Tak sempat nak update blog walaupun hampir setiap kali buka internet mesti melewati blog sendiri. Antara sebab ialah setiap kali berinternet ada saja tujuan lain yang patut diutamakan. Lebih-lebih lagi mencari bahan kitab-kitab sebagai rujukan bahas yang diberikan oleh pensyarah Insaniah. Kekadang nak jumpa bahan yang dicari-cari memakan masa yang banyak dan perlu mencari berulang-kali di beberapa laman yang menyediakan salinan kitab percuma. Ana merujuk di sini kitab yang bermaksud kitab keilmuan Islam.
Untungnya sekarang kerana wujud kitab-kitab muktabar yang disalin ke internet, boleh diperolehi dengan mudah jika kena dengan caranya dan teknikalnya. Terima kasih kepada sahabat-sahabat di serata dunia yang bertungkus-lumus menyediakan kemudahan tersebut. Berbanding waktu dulu yang amat sukar mencari kitab rujukan untuk sesuatu tajuk perbahasan terutama bagi kita yang berada di Asia Tenggara kerana perkembangan bahan bacaan di rantau ini belum lagi meluas seperti apa yang berlaku di rantau Arab.
Kenapa ana rasa beruntung adanya kitab-kitab percuma tersebut? Jawapannya kembali kepada siapa diri anda dan kedudukan anda. Jika anda seorang pelajar yang sedang belajar anda akan faham maksud untung itu. Jika anda mempunyai kedudukan ekonomi yang kurang stabil anda akan faham maksudnya. Jika anda berada di sudut geografi yang jauh daripada sumber berkenaan yang tidak memungkinkan anda mudah mendapatkannya anda akan faham maksudnya.
Walau bagaimana pun, bahan atau kitab yang mudah diperolehi itu bukan lah disediakan untuk tujuan perniagaan yang berasaskan keuntungan. Ianya (pada pendapat ana) semata-mata satu usaha untuk memperluaskan method dakwah Islam. Usaha yang tidak mengharapkan habuan duniawi semata-mata sebaliknya mengharap keredaan tuhan yang diutamakan. Jika ada pihak yang cuba melintah daratkan usaha itu ana yakin perniagaannya tidak menghasilkan keuntungan malah kerugian. Lebih-lebih lagi daripada mendamba keredhaan Allah.
Tidak lekang di ingatan surah Al-Asr yang intisari ayat-ayatnya menyentuh tentang keuntungan dan kerugian dalam kehidupan kita manusia.Siapa yang tak ingin beruntung?Dan siapa yang harap kerugian? Dua perkara yang bertentangan tidak boleh berihimpun dalam satu masa. Sepertimana Allah tidak jadikan manusia ada dua hati yang berkeinginan perkara berbeza dalam waktu yang sama. Justeru itu, pilihlah wahai sahabat mahu untung atau rugi. Siapa nak untung ayuhlah tingkatkan keimanan kepada Allah dengan sentiasa ingat kepadaNya melalui ingatan minda,zikir lidah dan gerakan anggota badan. Buat baik banyak-banyak sedaya upaya, perbuatan jahat disingkirkan secara tiada kompromi.

Jumpa lagi...

Kelahiran Insan Istimewa

25 Februari 2010


Selepas ulangtahun kelahiran puteriku pada hari ini, 25.02.2009 yang genap setahun masihi pada hari ini. Esok pula seluruh umat Islam akan meraikan pula kelahiran insan istimewa yang selalu dirindui, Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم
Saban waktu kita meraikan kelahiran kita atau kerabat kita dengan pelbagai acara yang menarik. Bagaimana pula baginda Rasulullah meraikan hari kelahiran beliau? Telah sabit dalam beberapa riwayat hadis daripada baginda bahawa Rasulullah sering berpuasa pada hari Isnin dan Khamis. Baginda pernah ditanya oleh para sahabat mengapa baginda berpuasa pada hari tersebut? Dijawab, hari Isnin aku suka kerana ialah hari kelahiranku, manakala hari Khamis ialah hari catatan amalan kita ditukar antara malaikat langit dan bumi,dan baginda suka ketika amalan diangkat ke langit walhal baginda dalam keadaan berpuasa.
Masya Allah, luhurnya pekertimu ya Rasulallah. Oleh itu, ana mengajak sahabat marilah kita hayati dan amali sunnah baginda sedaya mampu. Bacalah "Syama-il" baginda kepada anak-anak kita,keluarga kita dan lain-lain. Sama-sama kita mendambakan syafaat baginda dengan sentiasa bersolawat kepada Nabi kita
صلى الله عليه وسلم