Selamat Hari Guru

19 Mei 2010

Assalamualaikum.
Hari Guru pada tahun ini jatuh pada Hari Ahad 16 Mei. Rasanya masih tidak terlewat lagi untuk ana nukilkan di sini ucapan "Selamat Hari Guru" kepada semua insan yang berstatus guru, ex-guru dan bakal guru.
Pengorbanan individu yang berkecimpung dalam medan pendidikan secara sepenuh masa atau separuh masa amat tinggi nilainya. Guru di sini secara khusus dimaksudkan profesion perguruan termasuk para pendidik di setiap lapisan pengajian, dari serendah-rendah tahap sehingga lah ke tahap paling tinggi.
Adapun peranan dan fungsi mendidik bukan hanya dipikul oleh individu bergelar "cikgu" di institusi pendidikan semata-mata. Bahkan tugas pendidikan bermula dari seseorang itu mula mengetahui sesuatu ilmu, kemudian mengajarkannya kepada orang lain. Itu sudah dinamakan guru. Sementara ibu bapa adalah guru pertama anak-anak mereka dalam mengasuh peribadi dan menyemai pendidikan awal secukupnya. Ibu bapa lah yang memainkan peranan terpenting dalam rangkaian pendidikan. Manakala guru di institusi pendidikan adalah agen sekunder bagi mambantu melengkapkan pendidikan seseorang manusia.
Namun demikian dewasa ini jarang ada ibu bapa yang mampu memberikan pendidikan yang wajar kepada anak-anak. Justeru itu, tugas dan tanggungjawab itu dipindahkan ke bahu orang lain iaitu guru. Oleh yang demikian mereka wajar diberi imbuhan atas usaha yang dilaksanakan. Dengan kata lain, guru rasmi tersebut bertanggungjawab memberikan pendidikan yang wajar kepada muridnya selayaknya dengan penuh dedikasi dan integriti.
Apabila semua pihak mengganding bahu merealisasikan tugas di posisi masing-masing, kejayaan pendidikan akan terzahir di dalam peribadi anak-anak didik. Peribadi unggul yang diharapkan ialah keseimbangan ilmu dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Jika itulah matlamat yang dituju, maka patut seseorang guru itu dihormati dan diucapi "Selamat Hari Guru".
Dedikasi khas buat kedua-dua ibu bapaku, para guruku yang masih hidup dan telah lama pergi serta anak-anak didikku yang telah bergelar guru. Guru hari ini, guru jugalah pada hari esok.

0 comments:

Catat Ulasan

Kalam anda