Sejak mula masuk kembali ke alam belajar secara formal, rasa macam diri ini disapa oleh keteringinan mendampingi kitab-kitab. Sekian lama juga kitab-kitab yang ada di almari menjadi khazanah ilmu fi sutur. Tiba masanya ana berteman dengan sahabat setia itu secara lebih kerap dan akrab.
Baru hari pertama ke kuliah pada Sabtu lepas sudah ada satu bahs yang terhutang selain satu lagi bahs tajuk terbaru -agak mafhumnya begini "Dalil-dalil penafian Allah mengambil ruang/keberadaan di suatu arah". Bermula dari detik ini, enjin otak perlu dipanaskan mencari maklumat. Tak kira daripada sumber turathi mahupun kontemporari.
Seronok kerana dapat merasai keenakan menuntut ilmu, selain itu diri juga rasa tercabar kerana kekangan masa dan geografi. Mana tidaknya, pusat pengajian di Alor Star sedangkan ana tinggal di nun pelusuk Baling. Namun menjadi harapan agar hati ni sentiasa bersemangat. Terima kasih diucapkan kepada suri hatiku yang memahami situasiku, juga Widad yang seolah-olah selalu memotivasikan diriku. Terima kasih jua kepada sahabat-sahabat yang terus-menerus mendoakan kami. Syukran wa jazakumullah khairan.
Sejak beberapa hari terkebalangan ini SK Kg. KEDA melalui beberapa peristiwa yang berkaitan dengan isu hangat sekarang, H1N1. Pada hari Khamis yang lalu (13.08.09) seramai 17 orang murid mengalami demam biasa dan selsema. Kesemua mereka telah dirawat oleh sepasukan pegawai perubatan daripada Klinik Kesihatan Parit Panjang. Keadaan mereka stabil.
Hari ini satu lagi langkah proaktif pihak pentadbiran sekolah telah menjemput penceramah daripada Hospital Baling, En. Radi. Sesi ceramah bermula jam 8.30pagi-9.30pagi melibatkan semua warga SK Kg. KEDA. Ceramah tersebut berkisar tentang penyakit influenza H1N1 dan langkah-langkah pencegahannya.
Murid bersurai ke kelas masing-masing selepas program itu. Peperiksaan bulanan diteruskan seperti jadual yang dirancangkan. Terima kasih kepada pihak Hospital Baling, para guru dan mereka yang terlibat menjayakan program tersebut.

Hari ini permulaan kehadiran ana ke Kuliah Usuluddin KUIN belajar kelas pengajian post-garduate secara part time. Setelah sekian lama berazam menyambung pengajian, kini Allah telah memberi peluang kepada ana.
Di kuliah ana bertemu semula rakan-rakan lama yang pernah dahulu menuntut ilmu di Al-Azhar Cawangan Mansurah. Antara mereka ialah Us. Roslizam&zaujahnya, Us. Faizul dan beberapa rakan dari graduan Al-Azhar muhafazah lain.
Kelas bermula jam 8.30pagi setiap Sabtu dan berakhir jam 6 petang. Pengajian meliputi madah Tafsir,Aqidah dan al-Bahth al-Ilmi wa Kitabatuh.
Selepas menghadiri muhadarah pertama itu, terasa kembali aura belajar di Mesir dulu-dulu. Mengamati setiap patah kata Arabiah yang keluar dari mulut doktor membuatkan diri ini terkenang masa lalu ketika menimba ilmu di Bumu Anbiya'.
Jom rakan-rakan kita hidup dalam belajar.
اطلب العلم من المهد إلى اللحد
Labels: ilmu

Petang tadi ana mendapat panggilan telefon daripada ust. Imran Lamree (SK Binjul) mengkhabarkan satu berita. Dia memaklumkan bahawa En. Abu Jalil mantan pensyarah kami di IPDA telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pagi tadi. Beliau berjasa kepada kami khususnya sewaktu kami menghadiri KISSM di IPDA.
Terpanggil untuk mendapat berita yang jelas dan pasti ana melayari web-web berita tanah air. Ucapan takziah dari ana sekeluarga kepada keluarga allahyarham. Antara akhbar yang menyiarkan berita tersebut ialah Sinar Harian Onlie dan Bernama serta laman IPDA sendiri. Di sini ana memetik berita dari BERNAMA :
28 Julai, 2009 23:14 PM
Dua Maut, Tiga Parah Kereta Bertembung Motosikal Di Machang
MACHANG, 28 Julai (Bernama) -- Dua maut manakala tiga cedera parah apabila sebuah motosikal yang ditunggang seorang remaja hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh sebuah kereta yang dinaiki tiga beranak dalam kejadian di Kilometer 3.1 Lebuhraya Machang-Pasir Puteh di sini, awal pagi Selasa.
Pemangku Ketua Polis Daerah Machang ASP Loo Lian Lay berkata kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu meragut nyawa penunggang motosikal jenis Yamaha 125 Firdaus Mohd Nor, 18, dan pemandu kereta jenis Perodua Myvi Abu Jalil Hassan, 57, yang merupakan seorang pensyarah.
"Mangsa yang cedera parah pula adalah seorang lagi penunggang motosikal yang dipercayai sahabat kepada Firdaus iaitu Mohd Nor Musa, 20, isteri kepada pensyarah terbabit, Norany Johari, 55, dan anak mereka, Nurul Amirah, 17, yang berada dalam kereta Myvi itu.
"Dalam kejadian itu, Mohd Nor dan Firdaus yang datang dari arah Machang ke Pasir Puteh dipercayai berlumba dan menunggang motosikal mereka dalam keadaan laju sehingga hilang kawalan lalu sebuah motosikal bertembung dengan kereta Myvi terbabit yang datang dari arah bertentangan," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata Mohd Nor bernasib baik kerana motosikal yang dipandunya terbabas ke bahu jalan manakala motosikal yang dipandu Firdaus, bertembung dengan kereta yang dipandu Abu Jalil menyebabkan berlaku pertembungan yang kuat sehingga kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian.
"Firdaus tercampak sehingga masuk ke dalam kereta Abu Jalil dan putus sebelah kaki," katanya.
Loo berkata ketika kejadian, Abu Jalil yang merupakan tenaga pengajar Institut Perguruan Melayu Kampus Darul Aman, Jitra, Kedah itu dikatakan dalam perjalanan ke Terengganu untuk berkursus.
Firdaus dan Mohd Nor merupakan penduduk tempatan berasal dari Kampung Kolam Abu dekat sini.
Beliau berkata mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Machang untuk dibedah siasat manakala ketiga-tiga mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab Dua (HRPZII) di Kota Baharu untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, seorang rakan Firdaus, Azmi Ismail, 24, berkata sebelum kejadian itu, Firdaus ada datang ke rumahnya semalam bagi meminjam motosikal Azmi untuk balik ke rumahnya yang terletak di kampung yang sama.
"Pada mulanya saya tak mahu bagi, tetapi dia beria-ia memujuk menyebabkan saya kasihankannya lalu meminjamkan motosikal saya kepadanya memandangkan malam tadi hujan dan ini kali pertama dia nak pinjam motosikal daripada saya.
"Sebelum dia balik ke rumahnya, dia peluk saya erat-erat dan selepas beberapa minit dia berlalu, dia telefon semula beritahu akan hantar motosikal saya hari ini sehinggalah pagi tadi ada rakan menelefon dan memberitahu motosikal saya yang ditunggang Firdaus terbabit dalam kemalangan," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Daerah Machang, di sini.
-- BERNAMA

Ayat tajuk di atas biasa kita jumpa di tepi-tepi jalan yang sedang dibaiki. Tapi nukilan ini bukan untuk tujuan itu. Setelah beberapa kali berfikir, keputusan mengubah penampilan blog telah dibuat. Hari ini adalah percubaan pertama.
Memang kebiasaan lumrah, kita kena berubah walau pun sedikit. Sama ada ke arah negatif mahupun positif. Bak kata-kata Imam al-Syafie "air yang tenang bertakung akan rosak busuk kerana ia tidak mengalir". Apapun yang penting perlu diingat...kerja kita masih banyak di hadapan.
Jumpa lagi di lain siaran. Jaga diri hiasi peribadi.
Labels: tazkiroh

Jam 8.28 pagi ini, berlaku satu fenomena gerhana matahari di sekitar Negeri Kedah dan Malaysia serta kawasan yang terletak dalam laluannya.
Ana dan beberapa orang rakan-rakan yang berkursus di sini sempat menyertai aktiviti solat gerhana di masjid berdekatan. Solat gerhana selesai pada jam 9.26 pagi. Antara isi khutbah solat gerhana tadi ialah kejadian gerhana seperti ini berlaku secara falakiah dan berulang-ulang mengikut kiraan kalendar qamariah. Jadi ia tiada kaitan dengan apa-apa bala bencana atau kejadian buruk lain. Semuanya berlaku atas kehendak Allah Yang Maha Kuasa. Kita dituntut supaya bersolat dan berdoa ketika berlaku situasi seperti itu.
Sekarang cuaca tidak menentu. Suasana persekitaran di sesetengah tempat sudah tercemar oleh H1N1 (selsema b_b_). Ketika melayari laman-laman berita, ana terbaca satu kenyataan kesihatan yang terkini berkaitan selsema khususnya di kalangan kanak-kanak.
Sebahagian daripada kenyataan di dalam Malaysiakini:
Kebanyakan ubat batuk dan selesema tidak sesuai digunakan bagi kanak-kanak berumur bawah dua tahun, demikian penemuan terbaru Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Kementerian Kesihatan.
Susulan itu, Bernama melaporkan, PBKD memutuskan untuk mengehadkan penggunaan produk untuk merawat batuk dan selesema bagi kanak-kanak, kata Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Eisah A Rahman.
Amaran keselamatan seperti "Tidak sesuai digunakan di kalangan kanak-kanak yang berumur di bawah dua tahun" dan "Digunakan dengan berhati-hati dan mengikut nasihat doktor/ahli farmasi bagi kanak-kanak yang berumur di antara 2 hingga 6 tahun" wajib dinyatakan dengan jelas pada label dan sisipan bungkusan produk berkaitan, katanya dalam satu kenyataan.
Produk-produk terlibat adalah sediaan cecair melalui mulut yang mengandungi antihistamin (seperti Brompheniramine, Chlorpheniramine, Clemastine, Dexbropheniramine, Diphenhydramine, Pheniramine, Promethazine dan Triprolidine), antitusif (seperti Dextromethorphan dan Diphenhydramine) dan dekongestan (seperti Ephedrine, Phenylephrine dan Pseudoephedrine) yang digunakan untuk rawatan batuk dan selesema.
Sila baca selanjutnya di sini.


