KEMBALI KE RAHMATULLAH

29 Julai 2009


Petang tadi ana mendapat panggilan telefon daripada ust. Imran Lamree (SK Binjul) mengkhabarkan satu berita. Dia memaklumkan bahawa En. Abu Jalil mantan pensyarah kami di IPDA telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pagi tadi. Beliau berjasa kepada kami khususnya sewaktu kami menghadiri KISSM di IPDA.
Terpanggil untuk mendapat berita yang jelas dan pasti ana melayari web-web berita tanah air. Ucapan takziah dari ana sekeluarga kepada keluarga allahyarham. Antara akhbar yang menyiarkan berita tersebut ialah Sinar Harian Onlie dan Bernama serta laman IPDA sendiri. Di sini ana memetik berita dari BERNAMA :

28 Julai, 2009 23:14 PM

Dua Maut, Tiga Parah Kereta Bertembung Motosikal Di Machang

MACHANG, 28 Julai (Bernama) -- Dua maut manakala tiga cedera parah apabila sebuah motosikal yang ditunggang seorang remaja hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh sebuah kereta yang dinaiki tiga beranak dalam kejadian di Kilometer 3.1 Lebuhraya Machang-Pasir Puteh di sini, awal pagi Selasa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang ASP Loo Lian Lay berkata kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu meragut nyawa penunggang motosikal jenis Yamaha 125 Firdaus Mohd Nor, 18, dan pemandu kereta jenis Perodua Myvi Abu Jalil Hassan, 57, yang merupakan seorang pensyarah.

"Mangsa yang cedera parah pula adalah seorang lagi penunggang motosikal yang dipercayai sahabat kepada Firdaus iaitu Mohd Nor Musa, 20, isteri kepada pensyarah terbabit, Norany Johari, 55, dan anak mereka, Nurul Amirah, 17, yang berada dalam kereta Myvi itu.

"Dalam kejadian itu, Mohd Nor dan Firdaus yang datang dari arah Machang ke Pasir Puteh dipercayai berlumba dan menunggang motosikal mereka dalam keadaan laju sehingga hilang kawalan lalu sebuah motosikal bertembung dengan kereta Myvi terbabit yang datang dari arah bertentangan," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata Mohd Nor bernasib baik kerana motosikal yang dipandunya terbabas ke bahu jalan manakala motosikal yang dipandu Firdaus, bertembung dengan kereta yang dipandu Abu Jalil menyebabkan berlaku pertembungan yang kuat sehingga kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian.

"Firdaus tercampak sehingga masuk ke dalam kereta Abu Jalil dan putus sebelah kaki," katanya.

Loo berkata ketika kejadian, Abu Jalil yang merupakan tenaga pengajar Institut Perguruan Melayu Kampus Darul Aman, Jitra, Kedah itu dikatakan dalam perjalanan ke Terengganu untuk berkursus.

Firdaus dan Mohd Nor merupakan penduduk tempatan berasal dari Kampung Kolam Abu dekat sini.

Beliau berkata mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Machang untuk dibedah siasat manakala ketiga-tiga mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab Dua (HRPZII) di Kota Baharu untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, seorang rakan Firdaus, Azmi Ismail, 24, berkata sebelum kejadian itu, Firdaus ada datang ke rumahnya semalam bagi meminjam motosikal Azmi untuk balik ke rumahnya yang terletak di kampung yang sama.



"Pada mulanya saya tak mahu bagi, tetapi dia beria-ia memujuk menyebabkan saya kasihankannya lalu meminjamkan motosikal saya kepadanya memandangkan malam tadi hujan dan ini kali pertama dia nak pinjam motosikal daripada saya.



"Sebelum dia balik ke rumahnya, dia peluk saya erat-erat dan selepas beberapa minit dia berlalu, dia telefon semula beritahu akan hantar motosikal saya hari ini sehinggalah pagi tadi ada rakan menelefon dan memberitahu motosikal saya yang ditunggang Firdaus terbabit dalam kemalangan," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Daerah Machang, di sini.

-- BERNAMA

0 comments:

Catat Ulasan

Kalam anda