Assalamualaikum.
Hari ini madah terakhir untuk imtihan fasal 2 ni telah berakhir. Madah Al-Aqidah yang pada fasal lalu ana tersangkut tak lepas. Mungkin kerana waktu itu ana masih baru mula berjinak dengan alam belajar, jadi jawapan yang ditulis tidak seperti kehendak pensyarah. Atau mungkin waktu itu markah lulusnya agak tinggi mengikut standard Master Al-Azhar, sebab sohibul madah kata macam tu.
Kali ini ana mengharapkan usaha yang dicurahkan membawa hasil yang memuaskan walau tidak sebaik mana. Jika berjaya fasal depan dapat diteruskan tanpa terikat dengan syarat universiti. Semoga 3.0 ke atas la. Dulu di Mesir mana ada pointer atau CGPA. Yang ana tahu maqbul,jayyid,jayyid jiddan dan mumtaz aje.
Insya Allah, selamat berjaya kepada semua sahabat satu saf perjuangan.
Alhamdulillah, sepanjang berlangsung imtihan semua berjalan dengan baik. Usaha menimba ilmu sudah, usaha menghasilkan bahas sudah, usaha mengulangkaji sudah, usaha menjawab soalan pun sudah. Tinggal lagi doa dan tawakkal kepada Allah.
Labels: insaniah
Hari-hari yang dilalui terasa cepat berjalan. Sehari jadi seminggu, seminggu jadi sebulan. Kerja yang terletak atas bahu masih berlambak lagi yang tidak tertunai. Tugasan harian pembelajaran dan pengajaran tetap ku laksanakan dengan sebaiknya.
Sedar tak sedar pengajian sarjana ana semakin hampir ke akhir semester dua. Tinggal satu minggu lagi sebelum masuk ke medan pertarungan imtihan semester dua, 24 April 2010 dan dua hari lagi masing-masing pada 26 April dan 1 Mei. Madah yang terlibat ialah Ulum Quran,Falsafah Islam dan Aqidah. Sebelum ni sudah berminggu-minggu bertungkus lumus menyiapkan bahas bagi ketiga-tiga madah tersebut.
Alakullihal, kini dan sepanjang masa ana perlu merakamkan setinggi penghargaan kepada semua yang membantu. Terutama sayap kiriku yang tercinta, puteriku yang semakin memahami, kedua-dua ibu bapa, anak-anak muridku dan rakan sekerja yang senantiasa memberi motivasi. Harapan ana nasihat dan motivasi kalian tak kan putus-putus. Kepada Allah ana mohon kemurahan rezeki dan kelapangan hidup kalian.
Labels: insaniah
Tak sempat nak update blog walaupun hampir setiap kali buka internet mesti melewati blog sendiri. Antara sebab ialah setiap kali berinternet ada saja tujuan lain yang patut diutamakan. Lebih-lebih lagi mencari bahan kitab-kitab sebagai rujukan bahas yang diberikan oleh pensyarah Insaniah. Kekadang nak jumpa bahan yang dicari-cari memakan masa yang banyak dan perlu mencari berulang-kali di beberapa laman yang menyediakan salinan kitab percuma. Ana merujuk di sini kitab yang bermaksud kitab keilmuan Islam.
Untungnya sekarang kerana wujud kitab-kitab muktabar yang disalin ke internet, boleh diperolehi dengan mudah jika kena dengan caranya dan teknikalnya. Terima kasih kepada sahabat-sahabat di serata dunia yang bertungkus-lumus menyediakan kemudahan tersebut. Berbanding waktu dulu yang amat sukar mencari kitab rujukan untuk sesuatu tajuk perbahasan terutama bagi kita yang berada di Asia Tenggara kerana perkembangan bahan bacaan di rantau ini belum lagi meluas seperti apa yang berlaku di rantau Arab.
Kenapa ana rasa beruntung adanya kitab-kitab percuma tersebut? Jawapannya kembali kepada siapa diri anda dan kedudukan anda. Jika anda seorang pelajar yang sedang belajar anda akan faham maksud untung itu. Jika anda mempunyai kedudukan ekonomi yang kurang stabil anda akan faham maksudnya. Jika anda berada di sudut geografi yang jauh daripada sumber berkenaan yang tidak memungkinkan anda mudah mendapatkannya anda akan faham maksudnya.
Walau bagaimana pun, bahan atau kitab yang mudah diperolehi itu bukan lah disediakan untuk tujuan perniagaan yang berasaskan keuntungan. Ianya (pada pendapat ana) semata-mata satu usaha untuk memperluaskan method dakwah Islam. Usaha yang tidak mengharapkan habuan duniawi semata-mata sebaliknya mengharap keredaan tuhan yang diutamakan. Jika ada pihak yang cuba melintah daratkan usaha itu ana yakin perniagaannya tidak menghasilkan keuntungan malah kerugian. Lebih-lebih lagi daripada mendamba keredhaan Allah.
Tidak lekang di ingatan surah Al-Asr yang intisari ayat-ayatnya menyentuh tentang keuntungan dan kerugian dalam kehidupan kita manusia.Siapa yang tak ingin beruntung?Dan siapa yang harap kerugian? Dua perkara yang bertentangan tidak boleh berihimpun dalam satu masa. Sepertimana Allah tidak jadikan manusia ada dua hati yang berkeinginan perkara berbeza dalam waktu yang sama. Justeru itu, pilihlah wahai sahabat mahu untung atau rugi. Siapa nak untung ayuhlah tingkatkan keimanan kepada Allah dengan sentiasa ingat kepadaNya melalui ingatan minda,zikir lidah dan gerakan anggota badan. Buat baik banyak-banyak sedaya upaya, perbuatan jahat disingkirkan secara tiada kompromi.
Selepas ulangtahun kelahiran puteriku pada hari ini, 25.02.2009 yang genap setahun masihi pada hari ini. Esok pula seluruh umat Islam akan meraikan pula kelahiran insan istimewa yang selalu dirindui, Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم
Saban waktu kita meraikan kelahiran kita atau kerabat kita dengan pelbagai acara yang menarik. Bagaimana pula baginda Rasulullah meraikan hari kelahiran beliau? Telah sabit dalam beberapa riwayat hadis daripada baginda bahawa Rasulullah sering berpuasa pada hari Isnin dan Khamis. Baginda pernah ditanya oleh para sahabat mengapa baginda berpuasa pada hari tersebut? Dijawab, hari Isnin aku suka kerana ialah hari kelahiranku, manakala hari Khamis ialah hari catatan amalan kita ditukar antara malaikat langit dan bumi,dan baginda suka ketika amalan diangkat ke langit walhal baginda dalam keadaan berpuasa.
Masya Allah, luhurnya pekertimu ya Rasulallah. Oleh itu, ana mengajak sahabat marilah kita hayati dan amali sunnah baginda sedaya mampu. Bacalah "Syama-il" baginda kepada anak-anak kita,keluarga kita dan lain-lain. Sama-sama kita mendambakan syafaat baginda dengan sentiasa bersolawat kepada Nabi kita
Labels: tazkiroh
Labels: widad
Tahun 2010 ialah tahun yang semakin mencabar dirasakan. Tugas-tugas harian sebagai pendidik dilaksanakan dengan sedaya kudrat yang ada. Dirasakan semakin lama banyak tugas yang perlu dilunaskan. Sabar dan tabah manjadi resepi hidup di samping munajat kepada Rabbul Izzah sepanjang waktu. Ungkapan " mendidik adalah amalan mulia" adalah motivasi diri. Ilmu yang dimanfaatkan akan mengalir pahalanya sampai kiamat.
Sungguhpun mengajar itu tugas utama, namun pelengkap diri untuk santapan rohani kena diisi. Hari-hari makan untuk mengenyangkan perut, habuan rohani pun perlu dicari sama. Oleh itu, belajarlah jika masih lagi ada kesempatan sebelum tiada masa lagi untuk belajar. Justeru itu, ana ambil keputusan untuk terus menyambung pengajian MA di INSANIAH dalam semester kedua sekarang. Semester yang lepas ana dapat rezeki Lulus Bersyarat, jadi ana disyorkan mengambil 2 madah sahaja pada semester ini. Dua madah itu ialah Falsafah Islam dan Ulum Al-Quran. Insya Allah mudah-mudahan kejayaan dapat diraih di penghujung semester nanti.
Mengajar dan belajar.
Labels: ilmu





