Perjuangan Baru Bermula

24 April 2010

Perjuangan pertama bermula jam 2.30 ptg tadi di INSANIAH dengan membawa bekalan madah Ulumul Quran. Hari ini badan rasa kurang selesa sebab ada tanda-tanda selsema. Semasa imtihan tadi ana hanya mampu menahan kesejukan pendingin hawa sampai jemari menjadi tiada rasa (kebas) kerana setiap sendi jari terus-menerus bekerjasama mencoret ayat-ayat jawapan bagi soalan yang ditanya. Kerusi dan meja tidak ditinggalkan dalam masa 3 jam yang diperuntukkan. Seolah-olah 3 jam itu tidak mencukupi untuk menyusun baris-baris jawapan yang ingin ana tuliskan.
Alhamdulillah, sepanjang berlangsung imtihan semua berjalan dengan baik. Usaha menimba ilmu sudah, usaha menghasilkan bahas sudah, usaha mengulangkaji sudah, usaha menjawab soalan pun sudah. Tinggal lagi doa dan tawakkal kepada Allah.
فإذا عزمت فتوكل على الله
Apabila engkau bertekad maka tawakkallah kepada Allah.
Akan menyusul lagi dua madah yang sedang menunggu. Semoga masa yang berbaki dimafaatkan sebaiknya. Kepada sahabt-sahabat ana mohon doa kalian agar kejayaan bersama kita dalam setiap medan yang kita ceburi. Kerana di kalangan mu'minin ada mereka yang mustajab doanya. Terima kasih.

Bersedia Hadapi Cabaran

18 April 2010

Hari-hari yang dilalui terasa cepat berjalan. Sehari jadi seminggu, seminggu jadi sebulan. Kerja yang terletak atas bahu masih berlambak lagi yang tidak tertunai. Tugasan harian pembelajaran dan pengajaran tetap ku laksanakan dengan sebaiknya.
Sedar tak sedar pengajian sarjana ana semakin hampir ke akhir semester dua. Tinggal satu minggu lagi sebelum masuk ke medan pertarungan imtihan semester dua, 24 April 2010 dan dua hari lagi masing-masing pada 26 April dan 1 Mei. Madah yang terlibat ialah Ulum Quran,Falsafah Islam dan Aqidah. Sebelum ni sudah berminggu-minggu bertungkus lumus menyiapkan bahas bagi ketiga-tiga madah tersebut.
Alakullihal, kini dan sepanjang masa ana perlu merakamkan setinggi penghargaan kepada semua yang membantu. Terutama sayap kiriku yang tercinta, puteriku yang semakin memahami, kedua-dua ibu bapa, anak-anak muridku dan rakan sekerja yang senantiasa memberi motivasi. Harapan ana nasihat dan motivasi kalian tak kan putus-putus. Kepada Allah ana mohon kemurahan rezeki dan kelapangan hidup kalian.

Sepatah-dua Bicara

04 April 2010

Tak sempat nak update blog walaupun hampir setiap kali buka internet mesti melewati blog sendiri. Antara sebab ialah setiap kali berinternet ada saja tujuan lain yang patut diutamakan. Lebih-lebih lagi mencari bahan kitab-kitab sebagai rujukan bahas yang diberikan oleh pensyarah Insaniah. Kekadang nak jumpa bahan yang dicari-cari memakan masa yang banyak dan perlu mencari berulang-kali di beberapa laman yang menyediakan salinan kitab percuma. Ana merujuk di sini kitab yang bermaksud kitab keilmuan Islam.
Untungnya sekarang kerana wujud kitab-kitab muktabar yang disalin ke internet, boleh diperolehi dengan mudah jika kena dengan caranya dan teknikalnya. Terima kasih kepada sahabat-sahabat di serata dunia yang bertungkus-lumus menyediakan kemudahan tersebut. Berbanding waktu dulu yang amat sukar mencari kitab rujukan untuk sesuatu tajuk perbahasan terutama bagi kita yang berada di Asia Tenggara kerana perkembangan bahan bacaan di rantau ini belum lagi meluas seperti apa yang berlaku di rantau Arab.
Kenapa ana rasa beruntung adanya kitab-kitab percuma tersebut? Jawapannya kembali kepada siapa diri anda dan kedudukan anda. Jika anda seorang pelajar yang sedang belajar anda akan faham maksud untung itu. Jika anda mempunyai kedudukan ekonomi yang kurang stabil anda akan faham maksudnya. Jika anda berada di sudut geografi yang jauh daripada sumber berkenaan yang tidak memungkinkan anda mudah mendapatkannya anda akan faham maksudnya.
Walau bagaimana pun, bahan atau kitab yang mudah diperolehi itu bukan lah disediakan untuk tujuan perniagaan yang berasaskan keuntungan. Ianya (pada pendapat ana) semata-mata satu usaha untuk memperluaskan method dakwah Islam. Usaha yang tidak mengharapkan habuan duniawi semata-mata sebaliknya mengharap keredaan tuhan yang diutamakan. Jika ada pihak yang cuba melintah daratkan usaha itu ana yakin perniagaannya tidak menghasilkan keuntungan malah kerugian. Lebih-lebih lagi daripada mendamba keredhaan Allah.
Tidak lekang di ingatan surah Al-Asr yang intisari ayat-ayatnya menyentuh tentang keuntungan dan kerugian dalam kehidupan kita manusia.Siapa yang tak ingin beruntung?Dan siapa yang harap kerugian? Dua perkara yang bertentangan tidak boleh berihimpun dalam satu masa. Sepertimana Allah tidak jadikan manusia ada dua hati yang berkeinginan perkara berbeza dalam waktu yang sama. Justeru itu, pilihlah wahai sahabat mahu untung atau rugi. Siapa nak untung ayuhlah tingkatkan keimanan kepada Allah dengan sentiasa ingat kepadaNya melalui ingatan minda,zikir lidah dan gerakan anggota badan. Buat baik banyak-banyak sedaya upaya, perbuatan jahat disingkirkan secara tiada kompromi.

Jumpa lagi...