Tahun Baru 1432H

07 Disember 2010


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Assalamualaikum.
Tahun 1431 Hijriah melabuh tirainya di penghujung Zulqaedah. Kini tiba sinar Muharram 1432H membawa cahaya ke segenap alam selagi belum berdiri qiamat.
Sempena tarikh Islam ini yang terselit erti pengorbanan yang besar diucapkan " selamat menyambut tahun hijri yang baru"
Antara pengisian yang biasa dilakukan ialah membaca doa akhir tahun dan awal tahun, seterusnya bacaan Yasin beramai-ramai. Amalan tersebut tiada salah jika dilakukan, cuma iktikad kita perlu betul bahawa tiada nas nyata yang menunjukkan Nabi SAW dan para sahabat melakukan demikian di masa itu.
Siapa yang nak berdoa atau baca al-Quran silakan, atas dasar umum semata-mata. Ini bermakna bukan salah jika kita membaca lafaz doa yang berlainan atau surah yang lain, atau tidak buat apa-apa langsung pun. Jangan pula ada yang menyalahkan pihak lain jika amalannya berbeza daripada apa yang terlazim. Bertolak-ansurlah dalam perpaduan Islam.

Mengapa tahun baru bermuala bulan Muharram?

Penetapan tarikh hijriah berlaku pada zaman Khalifah Umar al-Khottob, 17 tahun selepas peristiwa hijrah Nabi SAW. Sesiapa yang merujuk sirah Nabi SAW akan dapati tarikh sebenar hijrah baginda ialah 28 Rojab dari Makkah hingga 12 Rabiul Awwal tiba di Madinah. Jadi, mengapa tidak dimulakan pengiraan awal tahun hijriah dengan Rojab atau Robiul Awwal? Mengapa Muharram dipilih?
Jawapan: pada bulan Muharramlah bermulanya azam untuk berhijrah dari negeri yang tidak baik untuk perkembangan Islam (Makkah) ke sebuah tempat yang menjanjikan kemuliaan untuk Islam (Madinah-ketika itu Yathrib). Ianya bertitik tolak daripada perjumpaan di Aqobah antara Nabi SAW dengan rombongan penduduk Yathrib yang beriman. Dan ianya berlaku pada bulan Zulhijjah setelah kaum Arab selesai melakukan haji di Baitullah. Oleh itu, bulan Muharram menjadi titik tolak awal perpindah (hijrah) orang Islam ke Habsyah dan Yathrib. Kemudian barulah baginda SAW bersama Abu Bakar keluar berhijrah setelah kemuncak permusuhan Quraisy terhadap dakwah Islam.
Wallahu a'lam.

Selamat Iduladha 1431H

16 November 2010


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Assalamualaikum.
Mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan
Selamat Hari Raya Idul Adha
kepada semua umat Islam satu dunia.
Juga ucapan selamat menunaikan ibadah haji kepada seluruh tetamu Allah di bumi Haramain.
حجا مبرورا وذنبا مغفورا وتجارة لن تبور

عساكم من العائدين والفائزين وكل عام وانتم إلى الله أقرب

IdulFitri al-Mubarak

10 September 2010

Assalamualaikum.


Tanggal 1 Syawal menjelang lagi,
IdulFitri disambut gembira,
Terkenang Ramdhan yang telah pergi,
Sedih pula jiwa terasa.

Dalam keterpaksaan rela atau tidak, Ramadhan yang mulia tetap kena berlau memberi laluan bulan baru muncul. Sesetengah orang gembira pabila datang Syawal. Semuanya bergembira tapi jangan lupa kepada yang tiada apa.
Sesetengah orang masih bersedih kerana ditinggalkan kekasih mereka Ramadhan. Entah tahun depan bertemu lagi ke tidak. Bergembira kerana kemenangan melawan hawa nafsu sebulan, sedih kerana bulan yang banyak fadilat telah berlalu.
Apapun selamat hari raya IdulFitri.
من العائدين والفائزين المقبولين

Hari Ulangtahun Kemerdekaan

31 Ogos 2010

Salam.
Hari ni adalah ulangtahun kemerdekaan Malaysia yang ke-53. Disambut saban tahun tidak kira apa jua keadaan sama ada zaman ekonomi merudum, musim hujan atau bulan puasa. Bersemangat.
Apapun halnya, falsafah kemerdekaan perlu diterjemah dalam diri kita.Bukan kemerdekaan mutlak. Kita adalah hamba Allah yang merdeka dalam skop hamba, ada perkara yang kita boleh buat dan perlu jauhi. Itulah hakikat merdekanya seorang muslim sejati. Kita akan merdeka sebenarnya di hujung destinasi iaitu syurga Allah. Marilah kita mohon agar kita layak menjadi calon ahli syurga.
  اللهُمَّ اجْعَلْناَ مِنْ عُتَقَائِكَ مِنَ النَّارِ وَمِنَ المَقْبُولِين
"Ya Allah, jadikanlah kami termasuk dalam golongan yang bebas dari api neraka dan golongan yang diterima ibadatnya"

Ini Ramadhan 1431H

25 Ogos 2010

Salam.

Selamat berpuasa kepada semua umat Islam di dunia, termasuk yang tidak berpuasa juga. Ketika entri ini dimasukkan usia Ramadhan 1431H ini ialah 21hari. Bermakna berbaki 9 atau 8 hari lagi akan berpisah bulan mulia tersebut. Sempat ke tak sempat nak ibadat, yang penting usaha diteruskan sehingga ke saat akhir.
Mutakhir ini banyak perkara yang menyebabkan kita selalu sibuk dari melakukan ibadat. Jadi tak perlu jadikan ia alasan untuk kita tidak melaksanakan langsung ibadat-ibadat sunat. Buat jangan tak buat.
رمضان شهر الصيام رمضان شهر القيام
Selamat berpuasa Ramadhan dan berbuka.

Tiga Dalam Satu

17 Julai 2010

Hari ini berhajat nak hadir ke kuliah kerana kelas telah bermula sejak minggu lepas. Hari ini juga perlu merebut masa hantar kereta ke pusat servis(SC) untuk menukar IAFM yang bermasalah. Dah bertangguh sejak sebulan yang lalu. Alang-alang hantar ke SC terus buat servis 60000km, anggaran kos dalam RM219++. Hari ini juga tidak disangka Widad meragam kerana badannya panas demam pecah dalam mulut. Demam tu sejak kelmarin lagi.
Bila tiga perkara tadi perlu diselesaikan dalam satu masa, awlawiyat yang no.1 ialah layan anak yang meragam dulu. Bagi makan apa yang dia boleh telan, beri ubat,bersihkan dirinya dan tidurkannya. Nampak keadaan dah ok sikit, ana bermula menghidupkan kereta untuk ke INSANIAH. Nak masuk kelas rasanya tak sempat dah memandangkan jam sudah 11pagi, dan kelas dijangkan bermula 11.30 selama 3 jam. Dari Kupang ke Alor Setar dalam 1.30++jam.
Sampai di kuliah ana tak masuk kelas,cuma tinggalkan "register slip" kat kereta kawan.Harap dia tolong serah kepada pihak kuliah. Ana terus keluar dari sana menuju ke Jitra, tempat SC berkenaan. Terpaksa datang sini sebab barang yang di"oder" ada kat situ.
Selepas berusan dengan kaunter pelanggan, masa servis kereta ana dijangka siap dekat-dekat 6 petang. Menunggu la dalam bilik air cond ni, mujur la bawa laptop, boleh layan internet dan menulis entri ini.
OK, esok kena datang lagi ke arah A'Star atas urusan penyerahan data j-QAF  PPD BS. Acara akan berlangsung di PKG Sg. Limau, Yan. Semoga hidup ini penuh ceria selalu dalam berbakti kepada orang lain.

Hiburan Ilmi Arabi

15 Julai 2010

Asalamualaikum.
Kita manusia dilahirkan lengkap dengan sifat2 tabie yang cenderong kepada kesenangan dan keseronokan. Sifat itu mula menunjukan fungsinya sejak dari pertama kali buka mata melihat dunia, seusia bayi lagi.
Anak ana Widad, pun suka hiburan. Justeru sebagai ibu bapa kena corakkan anak2 ke arah yang baik sejak dari kecil lagi. Lagu nasyid ini la yang jadi tayangan wajib di masa dia mengadap komputer di rumah. Sampai boleh hafal tajuk lagu dan menyebutnya sebelum lagu itu berbunyi. Antaranya ;

Demam Data Pula

13 Julai 2010

Assalamualaikum.
Musim data seminggu dua ni ana percaya bahawa kebanyakan guru j-QAF yang diamanahkan menguruskan data j-QAF di sekolah masing-masing terasa "demam" semacam. Tambah lagi sekolah yang mempunyai bilangan murid yang ramai, bertambah la usaha gigih perlu dicurahkan. Sekejap salah, sekejap laptop "hang", sekejap data hilang dari fail, sememangnya menjadi asam-garam kepada para guru tersebut. Takpa pengalaman tu bukan senang nak dapat kalau tak mencubanya.
Hari ini berduyun-duyun la berhimpun di PKG Kuala Pegang, Baling untuk menyerahkan data yang sudah siap. Tapi apakan daya kita sebagai manusia ini, ada yang tak siap juga walaupun sesi itu bermula dari jam 2.00 petang sehingga berlanjutan hampir 6.00 petang. Sampai pegawai di PKG terpaksa buat isyarat "nak tutup kedai".Bagi yang tak siap mereka dikehendaki menyelesaikannya sehingga minggu ini sahaja.
Selesai serah data, tanda tangan sebagai pengesahan penyerahan, ana tengok muka masing-masing naik seri semula. Macam hilang "demam" gitu. Semoga bulan Oktober nanti kita jumpa lagi.

Kelas Telah Bermula

12 Julai 2010

Salamun alaikum.

Apa khabar sahabat seangkatan khususnya tolib dirosah ulya KUIN?
Kelas pengajian MA sepenuh masa dan separuh masa telah bermula pada Sabtu lalu 10.07.2010. Pendaftaran madah untuk semester tiga ni masih boleh dibuat sehingga 16.07.2010 ini secara online di portal penuntut KUIN.
Ayuh kita pakat tambah ilmu dan tingkatkan usaha semi memartabatkan penghayatan ilmu sepanjang hayat.
Kepada mereka yang berminat boleh sertai kembara ilmu ini bersama...jom.

Apa Yang Jauh?

10 Julai 2010

Assalamualaikum bersua kembali sejak sekian masa yang berlalu. Setiap detik ketika ia berdetik menjanjikan kepada insan peluang, jika tidak pasti ia tidak menunggu atau datang semula. Semakin berdetik semakin jauh ia pergi. Itulah perkara yang jauh dari kita = MASA.
Apa pula benda yang dekat? Yang dekat itu MATI. Semakin kita hidup di dunia semakin menghampiri saat ajal yang telah tertulis sejak dari alam janin lagi.
Apa pula yang berat? Yang berat itu AMANAH. Tiada urusan atas muka bumi ini yang lebih berat tidak tertanggung oleh kita yang boleh mengatasi amanah. Bebanan di tempat kerja adalah salah satu contoh yang terdekat. Amanah manusia, amanah tuhan, amanah macam2 yang kita tidak terlepas dari kena uruskan ia dengan wajar dan integriti.
Apa pula yang ringan? Yang ringan itu SOLAT. Zaman kita kini tidak ramai yang beratkan solat, sebaliknya meringankan solat. Termasuk dalam ringan dari segi fizikal dan mental ialah solat nak cepat ataupun di hujung2 waktu. Sementara yang lain bersolat juga tapi hatinya malas berkali ganda. Ingatlah wahai diri yang menulis blog dan yang bacanya...perkara pertama yang akan ditanya di akhirat ialah solat.

Alhamdulillah. Dapat juga berkongsi info dengan sahabat2. Tika ini ana ada amanah penting juga iaitu melaporkan data pencapaian j-QAF 6 bulan pertama 2010 kepada PPD. Musim data la katakan bagi ustaz-ustazah j-QAF di seluruh negara. Macam musim durian dan rambutan juga yang kini tengah berlonggok di gerai2 tepi jalan.

Selamat menunaikan amanah anda. Wassalam.

Selamat Hari Guru

19 Mei 2010

Assalamualaikum.
Hari Guru pada tahun ini jatuh pada Hari Ahad 16 Mei. Rasanya masih tidak terlewat lagi untuk ana nukilkan di sini ucapan "Selamat Hari Guru" kepada semua insan yang berstatus guru, ex-guru dan bakal guru.
Pengorbanan individu yang berkecimpung dalam medan pendidikan secara sepenuh masa atau separuh masa amat tinggi nilainya. Guru di sini secara khusus dimaksudkan profesion perguruan termasuk para pendidik di setiap lapisan pengajian, dari serendah-rendah tahap sehingga lah ke tahap paling tinggi.
Adapun peranan dan fungsi mendidik bukan hanya dipikul oleh individu bergelar "cikgu" di institusi pendidikan semata-mata. Bahkan tugas pendidikan bermula dari seseorang itu mula mengetahui sesuatu ilmu, kemudian mengajarkannya kepada orang lain. Itu sudah dinamakan guru. Sementara ibu bapa adalah guru pertama anak-anak mereka dalam mengasuh peribadi dan menyemai pendidikan awal secukupnya. Ibu bapa lah yang memainkan peranan terpenting dalam rangkaian pendidikan. Manakala guru di institusi pendidikan adalah agen sekunder bagi mambantu melengkapkan pendidikan seseorang manusia.
Namun demikian dewasa ini jarang ada ibu bapa yang mampu memberikan pendidikan yang wajar kepada anak-anak. Justeru itu, tugas dan tanggungjawab itu dipindahkan ke bahu orang lain iaitu guru. Oleh yang demikian mereka wajar diberi imbuhan atas usaha yang dilaksanakan. Dengan kata lain, guru rasmi tersebut bertanggungjawab memberikan pendidikan yang wajar kepada muridnya selayaknya dengan penuh dedikasi dan integriti.
Apabila semua pihak mengganding bahu merealisasikan tugas di posisi masing-masing, kejayaan pendidikan akan terzahir di dalam peribadi anak-anak didik. Peribadi unggul yang diharapkan ialah keseimbangan ilmu dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Jika itulah matlamat yang dituju, maka patut seseorang guru itu dihormati dan diucapi "Selamat Hari Guru".
Dedikasi khas buat kedua-dua ibu bapaku, para guruku yang masih hidup dan telah lama pergi serta anak-anak didikku yang telah bergelar guru. Guru hari ini, guru jugalah pada hari esok.

Khitamuhu Misk

01 Mei 2010

Assalamualaikum.
Hari ini madah terakhir untuk imtihan fasal 2 ni telah berakhir. Madah Al-Aqidah yang pada fasal lalu ana tersangkut tak lepas. Mungkin kerana waktu itu ana masih baru mula berjinak dengan alam belajar, jadi jawapan yang ditulis tidak seperti kehendak pensyarah. Atau mungkin waktu itu markah lulusnya agak tinggi mengikut standard Master Al-Azhar, sebab sohibul madah kata macam tu.
Kali ini ana mengharapkan usaha yang dicurahkan membawa hasil yang memuaskan walau tidak sebaik mana. Jika berjaya fasal depan dapat diteruskan tanpa terikat dengan syarat universiti. Semoga 3.0 ke atas la. Dulu di Mesir mana ada pointer atau CGPA. Yang ana tahu maqbul,jayyid,jayyid jiddan dan mumtaz aje.
Insya Allah, selamat berjaya kepada semua sahabat satu saf perjuangan.

Perjuangan Baru Bermula

24 April 2010

Perjuangan pertama bermula jam 2.30 ptg tadi di INSANIAH dengan membawa bekalan madah Ulumul Quran. Hari ini badan rasa kurang selesa sebab ada tanda-tanda selsema. Semasa imtihan tadi ana hanya mampu menahan kesejukan pendingin hawa sampai jemari menjadi tiada rasa (kebas) kerana setiap sendi jari terus-menerus bekerjasama mencoret ayat-ayat jawapan bagi soalan yang ditanya. Kerusi dan meja tidak ditinggalkan dalam masa 3 jam yang diperuntukkan. Seolah-olah 3 jam itu tidak mencukupi untuk menyusun baris-baris jawapan yang ingin ana tuliskan.
Alhamdulillah, sepanjang berlangsung imtihan semua berjalan dengan baik. Usaha menimba ilmu sudah, usaha menghasilkan bahas sudah, usaha mengulangkaji sudah, usaha menjawab soalan pun sudah. Tinggal lagi doa dan tawakkal kepada Allah.
فإذا عزمت فتوكل على الله
Apabila engkau bertekad maka tawakkallah kepada Allah.
Akan menyusul lagi dua madah yang sedang menunggu. Semoga masa yang berbaki dimafaatkan sebaiknya. Kepada sahabt-sahabat ana mohon doa kalian agar kejayaan bersama kita dalam setiap medan yang kita ceburi. Kerana di kalangan mu'minin ada mereka yang mustajab doanya. Terima kasih.

Bersedia Hadapi Cabaran

18 April 2010

Hari-hari yang dilalui terasa cepat berjalan. Sehari jadi seminggu, seminggu jadi sebulan. Kerja yang terletak atas bahu masih berlambak lagi yang tidak tertunai. Tugasan harian pembelajaran dan pengajaran tetap ku laksanakan dengan sebaiknya.
Sedar tak sedar pengajian sarjana ana semakin hampir ke akhir semester dua. Tinggal satu minggu lagi sebelum masuk ke medan pertarungan imtihan semester dua, 24 April 2010 dan dua hari lagi masing-masing pada 26 April dan 1 Mei. Madah yang terlibat ialah Ulum Quran,Falsafah Islam dan Aqidah. Sebelum ni sudah berminggu-minggu bertungkus lumus menyiapkan bahas bagi ketiga-tiga madah tersebut.
Alakullihal, kini dan sepanjang masa ana perlu merakamkan setinggi penghargaan kepada semua yang membantu. Terutama sayap kiriku yang tercinta, puteriku yang semakin memahami, kedua-dua ibu bapa, anak-anak muridku dan rakan sekerja yang senantiasa memberi motivasi. Harapan ana nasihat dan motivasi kalian tak kan putus-putus. Kepada Allah ana mohon kemurahan rezeki dan kelapangan hidup kalian.

Sepatah-dua Bicara

04 April 2010

Tak sempat nak update blog walaupun hampir setiap kali buka internet mesti melewati blog sendiri. Antara sebab ialah setiap kali berinternet ada saja tujuan lain yang patut diutamakan. Lebih-lebih lagi mencari bahan kitab-kitab sebagai rujukan bahas yang diberikan oleh pensyarah Insaniah. Kekadang nak jumpa bahan yang dicari-cari memakan masa yang banyak dan perlu mencari berulang-kali di beberapa laman yang menyediakan salinan kitab percuma. Ana merujuk di sini kitab yang bermaksud kitab keilmuan Islam.
Untungnya sekarang kerana wujud kitab-kitab muktabar yang disalin ke internet, boleh diperolehi dengan mudah jika kena dengan caranya dan teknikalnya. Terima kasih kepada sahabat-sahabat di serata dunia yang bertungkus-lumus menyediakan kemudahan tersebut. Berbanding waktu dulu yang amat sukar mencari kitab rujukan untuk sesuatu tajuk perbahasan terutama bagi kita yang berada di Asia Tenggara kerana perkembangan bahan bacaan di rantau ini belum lagi meluas seperti apa yang berlaku di rantau Arab.
Kenapa ana rasa beruntung adanya kitab-kitab percuma tersebut? Jawapannya kembali kepada siapa diri anda dan kedudukan anda. Jika anda seorang pelajar yang sedang belajar anda akan faham maksud untung itu. Jika anda mempunyai kedudukan ekonomi yang kurang stabil anda akan faham maksudnya. Jika anda berada di sudut geografi yang jauh daripada sumber berkenaan yang tidak memungkinkan anda mudah mendapatkannya anda akan faham maksudnya.
Walau bagaimana pun, bahan atau kitab yang mudah diperolehi itu bukan lah disediakan untuk tujuan perniagaan yang berasaskan keuntungan. Ianya (pada pendapat ana) semata-mata satu usaha untuk memperluaskan method dakwah Islam. Usaha yang tidak mengharapkan habuan duniawi semata-mata sebaliknya mengharap keredaan tuhan yang diutamakan. Jika ada pihak yang cuba melintah daratkan usaha itu ana yakin perniagaannya tidak menghasilkan keuntungan malah kerugian. Lebih-lebih lagi daripada mendamba keredhaan Allah.
Tidak lekang di ingatan surah Al-Asr yang intisari ayat-ayatnya menyentuh tentang keuntungan dan kerugian dalam kehidupan kita manusia.Siapa yang tak ingin beruntung?Dan siapa yang harap kerugian? Dua perkara yang bertentangan tidak boleh berihimpun dalam satu masa. Sepertimana Allah tidak jadikan manusia ada dua hati yang berkeinginan perkara berbeza dalam waktu yang sama. Justeru itu, pilihlah wahai sahabat mahu untung atau rugi. Siapa nak untung ayuhlah tingkatkan keimanan kepada Allah dengan sentiasa ingat kepadaNya melalui ingatan minda,zikir lidah dan gerakan anggota badan. Buat baik banyak-banyak sedaya upaya, perbuatan jahat disingkirkan secara tiada kompromi.

Jumpa lagi...

Kelahiran Insan Istimewa

25 Februari 2010


Selepas ulangtahun kelahiran puteriku pada hari ini, 25.02.2009 yang genap setahun masihi pada hari ini. Esok pula seluruh umat Islam akan meraikan pula kelahiran insan istimewa yang selalu dirindui, Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم
Saban waktu kita meraikan kelahiran kita atau kerabat kita dengan pelbagai acara yang menarik. Bagaimana pula baginda Rasulullah meraikan hari kelahiran beliau? Telah sabit dalam beberapa riwayat hadis daripada baginda bahawa Rasulullah sering berpuasa pada hari Isnin dan Khamis. Baginda pernah ditanya oleh para sahabat mengapa baginda berpuasa pada hari tersebut? Dijawab, hari Isnin aku suka kerana ialah hari kelahiranku, manakala hari Khamis ialah hari catatan amalan kita ditukar antara malaikat langit dan bumi,dan baginda suka ketika amalan diangkat ke langit walhal baginda dalam keadaan berpuasa.
Masya Allah, luhurnya pekertimu ya Rasulallah. Oleh itu, ana mengajak sahabat marilah kita hayati dan amali sunnah baginda sedaya mampu. Bacalah "Syama-il" baginda kepada anak-anak kita,keluarga kita dan lain-lain. Sama-sama kita mendambakan syafaat baginda dengan sentiasa bersolawat kepada Nabi kita
صلى الله عليه وسلم
 

Ulangtahun Kelahiran Puteriku

21 Februari 2010

Pada 25hb Februari genap umur Widad setahun. Sekarang dah boleh bertatih sendiri, bila berjalan tak mau orang pegang tangan. Maka terjadilah senario "kedek-kedek" berjalan si kecil tu. Seronok pula tengok perkembangan anak perempuan sorang ni. Dia la penghibur hati dalam hidup kami sekeluarga. Selamat Hari Lahir yang pertama wahai anakku... Abi sayang Widad..

Mengajar Dan Belajar

25 Januari 2010

Tahun 2010 ialah tahun yang semakin mencabar dirasakan. Tugas-tugas harian sebagai pendidik dilaksanakan dengan sedaya kudrat yang ada. Dirasakan semakin lama banyak tugas yang perlu dilunaskan. Sabar dan tabah manjadi resepi hidup di samping munajat kepada Rabbul Izzah sepanjang waktu. Ungkapan " mendidik adalah amalan mulia" adalah motivasi diri. Ilmu yang dimanfaatkan akan mengalir pahalanya sampai kiamat.
Sungguhpun mengajar itu tugas utama, namun pelengkap diri untuk santapan rohani kena diisi. Hari-hari makan untuk mengenyangkan perut, habuan rohani pun perlu dicari sama. Oleh itu, belajarlah jika masih lagi ada kesempatan sebelum tiada masa lagi untuk belajar. Justeru itu, ana ambil keputusan untuk terus menyambung pengajian MA di INSANIAH dalam semester kedua sekarang. Semester yang lepas ana dapat rezeki Lulus Bersyarat, jadi ana disyorkan mengambil 2 madah sahaja pada semester ini. Dua madah itu ialah Falsafah Islam dan Ulum Al-Quran. Insya Allah mudah-mudahan kejayaan dapat diraih di penghujung semester nanti.
Mengajar dan belajar.

Gerhana Matahari Separa 15 Januari 2010

14 Januari 2010



Selepas satu gerhana bulan yang telah berlaku pada awal Januari lalu esok ada satu lagi kejadian gerhana bakal direkodkan. Kita sebagai umat Islam disunatkan menunaikan solat gerhana apabila berlaku gerhana. Siapa yang belum pernah buat solat gerhana, ha, masa ni la nak cuba tunaikan solat yang unik itu. selamat beribadat.
Lihat dan baca keterangan lanjut tentang gerhana tersebut di laman ini. Sila klik link ini.